Contoh Karangan- Persediaan-persediaan Sebelum Menjelang Musim Peperiksaan Awam

Idea 02 Infinite





                           Era pascamerdeka ini memaparkan kemajuan Malaysia dalam segenap bidang baik politik, ekonomi mahupun sosial. Dalam aspek sosial, Malaysia telah berjaya memajukan bidang pendidikan sehinggakan seluruh rakyat mendapat pendidikan yang secukupnya. Peperiksaan awam merupakan sesuatu yang digeruni oleh rata-rata pelajar kerana perkara ini melibatkan masa hadapan mereka. Sebelum mengulas perkara ini dengan lebih lanjut, apakah peperiksaan ini? Terdapat dua jenis peperiksaan iaitu ujian sumatif yang dijalankan pada tiap-tiap tahun dan juga ujian formatif yang dijalankan pada tiap-tiap bulan. Peperiksaan seperti STPM, STAM, SPM, dan PT3 merupakan peperiksaan awam yang merangkumi ujian bertulis dan ujian lisan. Sesetengah ibu bapa mempersoalkan keperluan mengadakan peperiksaan ini. Kita seharusnya maklum bahawa selain menjadi kayu ukur tahap intelektual seseorang individu, peperiksaan menjadi instrumen untuk mengukur keberkesanan sistem pendidikan sesebuah negara. Pihak kerajaan telah menambah baik sistem pendidikan di Malaysia dari masa ke masa untuk memenuhi keperluan semasa dunia. Umum mengetahui bahawa setiap pelajar mahukan kejayaan dalam peperiksaan mereka bagi membuktikan segala pengorbanan ibu bapa menghantar anak ke sekolah adalah berbaloi. Sesungguhnya terdapat pelbagai persediaan yang harus dilakukan sebelum menjelang musim peperiksaan awam.

                   Persiapan yang harus saya lakukan sebelum menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia ialah saya perlu memiliki visi dan matlamat yang jelas. Saya perlu mempunyai tujuan yang jelas datang ke sekolah kerana daripada visi tersebutlah lahirnya misi yang perlu saya penuhi untuk menggapai kejayaan yang diingini. Perkara ini boleh dianalogikan dengan pengembara hutan. Sekiranya pengembara tersebut tidak mempunyai peta dan kompas, mana mungkin dia dapat sampai ke lokasi yang diingini. Begitu juga dengan pelajar, mereka yang mempunyai matlamat dapat melihat dengan jelas perkara yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Maka, saya akan pergi ke sekolah dengan niat yang qudsi iaitu menuntut ilmu bukan kerana peperiksaan semata-mata malah demi memenuhi tuntutan agama seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW yang menyuruh kita menuntut ilmu hatta ke negeri China sekalipun. Maka, saya akan mengajak kawan-kawan untuk sama-sama berusaha dalam pembelajaran bagi melahirkan suasana berdaya saing antara pelajar sebagai pemangkin untuk terus berusaha menjadi pelajar yang terbaik. Impaknya, persaingan sihat ini dapat memupuk sikap rajin berusaha dalam diri pelajar di sekolah saya.

                    Segala penyakit bermula daripada perut. Oleh itu, saya akan mengambil makanan dan minuman yang berkhasiat sebagai langkah untuk menghadapi peperiksaan yang mendatang. Saya perlu mengelakkan makanan yang masam yang akan menumpulkan pemikiran, makanan yang masin, berlemak dan tinggi kandungan gula yang akan menyebabkan diabetes atau penyakit kencing manis. Saya perlu minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi membekalkan oksigen yang mencukupi ke otak. Dengan ini, rasa mengantuk dapat dielakkan lantas saya mampu memberikan tumpuan dalam pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, saya akan mengamalkan makanan sunnah seperti kismis, madu, kurma dan susu yang terbukti dapat meningkatkan daya kognitif. Cara pemakanan Nabi Muhammad SAW juga wajar diamalkan iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang sesuai dengan ahli falsafah, Socrates, iaitu saya makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seterusnya, tidur yang berkualiti dan mencukupi yang sering terlepas pandang haruslah dijaga. Hal ini berikutan fungsi tidur adalah untuk merehatkan minda dan seluruh badan bagi menyediakan tenaga yang mencukupi untuk esok hari. Tuntasnya, amalan gaya hidup sihat sememangnya penting bagi memastikan tahap kesihatan badan berada pada tahap yang terbaik.

                   Seterusnya, saya mestilah menyediakan jadual belajar yang sistematik. Antara tamsilan pembahagian masa belajar termasuklah membahagikan masa melakukan kerja-kerja di rumah, masa berehat dan masa belajar antara subjek-subjek dengan melebihkan masa bagi subjek yang kurang dikuasai. Saya juga akan memperuntukkan masa untuk menjawab soalan tahun-tahun yang lepas mengikut masa yang diperuntukkan ketika peperiksaan bagi melatih diri untuk berfikir dan menulis dengan pantas. Melalui kaedah ini, saya dapat mengurus masa dengan lebih baik kerana dapat mengelakkan pembaziran masa lapang dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah misalnya bermain dengan alat peranti elektronik yang bagaikan rempah dalam kehidupan yang akan melalaikan diri saya daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Maka, sebagai seorang pelajar, saya perlu mematuhi jadual belajar yang telah dirancang bagi membentuk disiplin diri yang tinggi bagi menghindari amalan belajar pada saat-saat akhir.

                    
                  Di samping itu, persiapan diri dari segi mental dan fizikal adalah mustahak dalam menghadapi peperiksaan awam. Kedua-duanya perlulah berada dalam keadaan yang baik kerana setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Seperti yang kita sedia maklum, ketahanan fizikal dan mental amat penting oleh pelajar supaya sesi pembelajaran menjadi lebih efektif. Peribahasa ada mengatakan akal yang cerdas, bertunjangkan badan yang cergas. Oleh yang demikian, saya harus menjalani gaya hidup yang aktif dengan mengisi waktu petang dengan aktiviti riadah serta bersenam. Aktiviti yang cergas ini membolehkan saya merehatkan minda setelah seharian belajar. Selain itu, saya harus memperkuatkan mental bagi menghadapi musim peperiksaan yang sudah tentu mencabar. Lantaran itu, saya tidak boleh terlalu membebani minda dengan tanggapan dan harapan menggunung orang lain kerana perkara yang merunsingkan minda akan menyebabkan stress yang berpanjangan. Sekiranya tidak dikawal, stress tersebut boleh membawa kepada kemurungan dan serangan panik semasa di dalam dewan peperiksaan. Oleh yang demikian, saya telah menghadiri beberapa kem motivasi yang dihadiri pakar motivasi yang diiktiraf kerana kem seperti ini dapat memberikan rangsangan dan galakan untuk meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu.

                   Sebagai menggulung perkara di atas, tiada jalan pintas dalam menuju kejayaan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kejayaan memerlukan usaha yang istiqomah, jitu dan pragmatik oleh pelajar bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam. Sudah tentu setiap pelajar mengimpikan kejayaan tersebut untuk memberi imej baik kepada keluarga. Pelajar-pelajar haruslah sedar akan pengorbanan ibu bapa membiayai kos pembelajaran di sekolah serta pengorbanan guru mengajar kita tanpa mengenal erti penat dan lelah hanya boleh dibalas dengan kejayaan kita dalam SPM dan kejayaan menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam kehidupan di luar sana. Dalam usaha mengejar impian dan matlamat, kita perlu sedar dan tawakkal serta kebergantungan kepada-Nya adalah perkara yang paling utama. Justeru, marilah bersama-sama mengorak langkah yang progresif untuk mendapatkan keputusan cemerlang agar dapat mengharumkan nama diri, keluarga dan sekolah tercinta, serta negara.




                                                       Nukilan: Aqilah Binti Mohd Zaki
                                                                                                                                     (5 Ibnu Sina 2019)
  

 

Comments

Popular posts from this blog

Contoh Karangan- Punca dan Faktor Pemanasan Global

Contoh Karangan- Ciri-ciri Pengguna yang Bijak