Contoh Karangan- Punca dan Faktor Pemanasan Global

Idea 02 Infinite



               
                        Dalam merentasi era modenisasi ini, pelbagai masalah, dugaan dan ujian datang menimpa penduduk dunia. Salah satu daripada kemelut tersebut ialah isu pemanasan global yang kian hangat diperkatakan. Pemanasan global pada dasarnya ialah satu fenomena alam apabila terdapat lambakan gas karbon dioksida dan karbon monoksida di atmosfera bumi yang menghalang haba daripada bumi untuk dibebaskan ke angkasa. Hal yang demikian telah mengakibatkan haba tersebut terperangkap dan dipantulkan kembali ke permukaan bumi. Isu pemanasan global ini akan menjadi suatu polemik yang tidak bernoktah sekiranya tiada usaha atau tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Laporan daripada Agensi Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengatakan bahawa kesan daripada pemanasan global, berlakunya pencairan ais di kutub selatan dan kutub utara yang menjurus kepada peningkatan aras laut. Hal yang demikian sangatlah membimbangkan kerana dijangkakan sebanyak 10,315 buah pulau akan tenggelam sekiranya hal ini berterusan selama 10 tahun. Memetik kata-kata Thomas Santayana, seorang tokoh politik yang terkenal, ''Tidak munculnya helang berterbangan sekiranya tiada arnab yang berkeliaran''. Begitu jugalah tidak mungkin untuk terjadinya pemanasan global sekiranya tiada yang menjadi puncanya. Punca inilah yang perlu kita bincangkan sebelum langkah yang proaktif  dapat kita ambil.

                 Pada pendapat saya, pemanasan global bukanlah terjadi akibat daripada perbuatan tumbuhan mahupun binatang. Namun ia terjadi hasil daripada sikap manusia yang mementingkan keuntungan semata-mata. Oleh itu, wajarkah dikatakan bahawa penebangan hutan yang tidak terkawal merupakan faktor wujudnya pemanasan global. Umum mengetahui bahawa, hutan-hutan di dunia khususnya hutan hujan tropika merupakan penyejuk semula jadi bagi bumi. Tumbuh-tumbuhan menjalankan fotosintesis yang menukarkan karbon dioksida kepada oksigen lantas mengurangkan bilangan karbon dioksida di udara. Namun, penebangan hutan yang berleluasa telah mengurangkan kadar penukaran karbon dioksida kepada oksigen dan mewujudkan lambakan gas karbon dioksida di atmosfera bumi. Natijahnya, kesemua pemimpin dunia khususnya negara-negara yang mempunyai hutan hujan tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Brazil seharusnya mencegah penebangan hutan secara haram dan melakukan proses penanaman semula.

                  Selain itu, pembakaran terbuka juga merupakan salah satu punca yang mengakibatkan pemanasan global. Pembakaran terbuka menyebabkan asap hitam berkepul-kepul naik ke udara membebaskan gas-gas rumah hijau. Kajian daripada Organisasi Kesihatan Dunia(WHO) mencatatkan bahawa 10.63% gas karbon dioksida yang terdapat di atmosfera datangnya daripada pembakaran terbuka. Pembakaran terbuka ini berpunca daripada individu-individu yang malas hendak membuang sampah di tempat pembuangan sampah kerana jaraknya yang jauh serta ketiadaan orang yang memungut sampah di kawasan berkenaan khususnya kawasan pedalaman dan kampung. Tuntasnya, pihak kerajaan perlulah mewujudkan syarikat atau agensi yang memungut sampah seluruh pelusuk negara dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan pembakaran terbuka.

                  Di samping itu, pelepasan asap daripada cerobong asap kilang-kilang serta ekzos kereta merupakan penyumbang terbesar bagi pembebasan gas rumah hijau iaitu sebanyak 86.97% mengikut laporan WHO. Hal ini sebenarnya dapat ditangani dengan meletakkan penapis 'catalyst' yang mampu menukarkan gas-gas berbahaya kepada gas yang baik untuk persekitaran di cerobong asap kilang dan ekzos kereta. Namun, kebanyakan penduduk bumi tidak mahu meletakkannya hanya dengan alasan tidak mahu berbelanja lebih untuk membeli penapis tersebut. Perbuatan manusia yang hanya mementingkan keuntungan inilah yang menjadi penyebab utama pemanasan global. Maka, pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang bagi menangani masalah ini.
           
                Menurut Malcolm J.Thompson, pemegang hadiah Nobel bagi alam sekitar pernah berkata,"Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, perlulah daripada dasarnya". Kesimpulannya, kesemua faktor yang dinyatakan sebelum ini merupakan faktor-faktor utama berlakunya pemanasan global. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi kemelut ini yang pastinya bukan sahaja akan menimpa negara kita Malaysia, namun penduduk dunia keseluruhannya. Sikap menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dibuang dari diri kita supaya keamanan dan kesejahteraan dunia terjamin. Ibu bapa sebagai suri tauladan kepada anak-anak mestilah mendidik anak-anak mereka perihal amalan 3R iaitu  'Reuse','Reduce' dan 'Recycle' dan amalan hijau kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kerjasama global perlu diwujudkan bagi menangani masalah ini. Malaysia boleh.



Nukilan: Suhaib Bin Abdul Rahman,10A SPM
                                                                                                                       (5 Ibnu Sina 2019)




Comments

Popular posts from this blog

Contoh Karangan- Persediaan-persediaan Sebelum Menjelang Musim Peperiksaan Awam

Contoh Karangan- Ciri-ciri Pengguna yang Bijak