Contoh Karangan- Ciri-ciri Bandar Pintar
Pada era globalisasi ini, isu tentang
pembangunan bandar pintar semakin hangat diperkatakan.Tidak kiralah sama ada
media massa mahupun media cetak acap kali menyiarkan tentang kepentingan bandar
pintar bagi melestarikan negara agar Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Sama ada sedar atau pun tidak
negara lain sebenarnya sudah mula mewajibkan konsep bandar pintar.Bandar
pintar?Pernahkah anda dengar berkaitan bandar pintar ini di sekolah , internet,
berita dan sebagainya?Apakah yang dapat diinterpretasikan dengan bandar pintar?
Baiklah, di sini saya akan perjelaskan. Konsep bandar pintar atau 'Smart City'
adalah konsep yang berakar umbi dari pelaksanaan idea untuk pengurusan sumber
dan alam bina yang lestari serta mesra pengguna.Tambahan lagi, bandar pintar
ini menjadi popular di seantero dunia pada alaf baharu.Sedar atau tidak, konsep
bandar pintar ini sangat penting bagi memastikan kemajuan negara terus
berkembang pesat. Malah, jika sesebuah negara itu mahu berada di carta teratas
negara paling maju di dunia, semestinya kewujudan bandar pintar ini yang
menjadi taruhannya.Negara kita,Malaysia juga telah pun mengamalkan konsep
bandar pintar.Sebagai contohnya, Putrajaya, Kuala Lumpur,Cyberjaya,dan Hang
Tuah Jaya,Melaka telah pun diwujudkan.Pada hakikatnya, terdapat banyak ciri bandar
pintar yang menjadi punca betapa vitalnya tajuk hari ini untuk
dibincangkan.Tidak mengapa, persoalan tersebut akan dikupas satu persatu hingga
ke akar umbi.
Umum mengetahui bahawa ciri bandar pintar yang paling utama ialah bandar pintar mempunyai kemudahan sambungan internet menerusi super jaring.Ya betul, bunyinya seakan-akan sama dengan iklan-iklan yang kita perlekehkan di televisyen dan radio-radio sebelum ini.Namun janganlah kita lupa, rangkaian seperti ini yang diidamkan setiap pengguna internet terutama lagi bagi remaja yang bakal memimpin negara.Impian lazim manusia ini mampu direalisasikan di sini. Ya, di bandar pintar.Hal ini jelas terbukti apabila segala kemudahan di sini sangat canggih yang membolehkan pemiliknya mendapatkan maklumat dengan sangat pantas. Sepantas kerdipan mata.Lantaran itu, si pemilik kemudahan dapat menyiapkan segala tugasan terutama lagi yang melibatkan kemudahan internet seperti 'whatsapp', telegram, email, 'facebook' dan lain-lain dengan cepat.Sebagai tamsilan, pelajar juga dapat mencari maklumat dan menuntut ilmu atas talian tanpa sebarang masalah seperti terpaksa memuat naik dalam tempoh masa yang terlampau lama. Impaknya, masa dapat dijimatkan sejimat mungkin sekali gus juga menjimatkan wang kerana tidak perlu lagi membayar tambang untuk ke perpustakaan mencari maklumat.Apa lagi yang dimahukan? Segalanya di hujung jari. Jika difikirkan, teknologi makin maju.Kemajuan dan teknologi memang tidak dapat dipisahkan bak kata pepatah, 'bagai isi dengan kuku'.Saya percaya masa depan kita tidak akan ke mana-mana tanpa kemudahan ini.Izharnya,kemudahan sambungan internet menerusi super jaring salah satu ciri penting bandar pintar.
Seterusnya,kemudahan rekreasi juga merupakan ciri bandar pintar.Logiknya, kemudahan rekreasi memberi ruang dan peluang kepada kita untuk beriadah.Bandar tanpa penduduk yang sihat tidak layak digelar bandar membangun.Apa guna sekiranya teknologi bertaraf lima bintang akan tetapi kesihatan rakyat dipandang enteng.Oleh sebab itu saya yakin bahawa Malaysia sangat memerlukan bandar pintar daripada bangunan pencakar langit yang bertingkat-tingkat dipenuhi lif yang tali sawatnya sudah nazak mengangkut manusia berlebihan berat badan.Bukannya untuk menghina, tetapi supaya rakyat negara kita sedar bahawa negara kita sangat masyhur.Masyhur dengan apa? Adakah dengan rakyat yang sentiasa memenangi sukan antarabangsa?Bukan itu yang saya maksudkan akan tetapi masyhur dengan rakyat obesiti.Itulah pentingnya taman rekreasi bandar pintar.Kemudahan rekreasi dapat menjamin rakyat yang sihat melalui aktiviti yang boleh dilakukan di pusat rekreasi seperti bersenam, berjoging mahupun bersukan.Lantaran itu, penyakit-penyakit yang berbahaya mampu mengancam nyawa impak daripada pengumpulan lemak tidak terkawal seperti obesiti dan artereosklerosis dapat dicegah.Maklumlah, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Minda yang cerdas datangnya dari tubuh badan yang cergas.Sebagai buktinya, negara Malaysia pastinya melahirkan lebih ramai intelek yang mampu memajukan bangsa hasil daripada kesihatan dijaga rapi.Akibatnya, ramai rakyat Malaysia yang sihat mampu bantu memajukan negara.Bukan itu sahaja, sama ada anda perasan ataupun tidak, kawasan taman rekreasi dipenuhi tumbuhan hijau dan salah satu kawasan dipenuhi flora dan fauna yang pelbagai.Tidaklah terlampau pelbagai seperti di zoo mahupun taman negara tetapi cukup untuk menghilangkan stres rakyat dan mampu mengurangkan kandungan udara tercemar di kawasan bandar.
Menurut akal saya yang bernas ini, ciri ketiga ialah pusat pengajian.Sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa bandar maju kaya dengan intelek hasil tempat pengajian yang terbaik. Sesuai dengan namanya, syarat bandar pintar yang paling wajib ialah pusat.Pusat apa?Pusat yang saya maksudkan di sini ialah pusat utama pendidikan.Di sinilah tempat mendidik dan membentuk intelek sains dan teknologi mampu menyumbang kepada kemenjadian negara.Pusat pendidikan adalah tonggak kecemerlangan individu bagi sesebuah negara.Sedangkan negara paling mundur pun ada institusi pendidikan yang tersendiri, ini kan pula negara maju.Logiklah untuk saya katakan bahawa kemudahan pendidikan yang disediakan di bandar pintar seperti universiti, sekolah rendah dan sekolah menengah membuka peluang yang sangat besar kepada rakyat yang berkemahiran tinggi untuk berbakti kepada negara.Apa salahnya pelaburan bandar pintar yang kecil bagi mendapatkan impak positif yang sangat besar nanti.Kemudahan lengkap dalam bandar yang tidak terlalu besar semestinya dapat menjimatkan masa dan tenaga setiap rakyat yang mengaplikasikan kemudahan yang disediakan dalam memenuhi matlamat membentuk rakyat yang berdisiplin.Impaknya, masyarakat Malaysia bukan sahaja terdiri daripada golongan berilmu tinggi malah mereka juga bersahsiah tinggi dan mulia.Oleh itu, pusat pengajian juga sengat penting dijadikan ciri bandar pintar.
Kesimpulannya, konsep bandar pintar harus diamalkan dengan kesepakatan rakyat bersama bagai aur dengan tebing bagi memastikan negara kita dapat mengejar negara lain agar tidak terus ketinggalan di belakang.Sudah terang lagi bersuluh, bandar pintar sangat penting.Buktinya,dengan mendalami tiga ciri-cirinya sahaja sudah dapat kita ketahui kebenarannya.Bandar pintar bukan sahaja memupuk rakyat yang berintelek tinggi, berdisiplin, cekap menyiapkan tugasan malah juga sihat dan bebas daripada segala macam penyakit.Walau canggih seperti mana sesebuah negara sekalipun tetapi rakyatnya sering diserang dan dihantui penyakit mampu membunuh pun tiada gunanya.Pasti ekonomi negara kita mundur kerana kurangnya rakyat yang berkudrat besar memimpin negara.Tambahan lagi, negara juga berkemungkinan besar mundur dek kerana terpaksa menghabiskan perbelanjaan tinggi menggunakan simpanan negara untuk sembuhkan rakyat seperti yang berlaku sekarang.Lebih baik kiranya bagi saya jika negara bersiap sedia menghabiskan wang untuk kemajuan negara daripada menghabiskan wang untuk selamatkan negara daripada mundur.Tidak kiralah walau sesukar mana pun tindakan yang harus diambil bagi membangun negara yang dipenuhi bandar pintar, saya percaya negara kita mampu hadapinya bersama.Jadi dalam situasi ini, pepatah 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing perlu diadaptasikan bagi membentuk kerajaan yang lebih harmoni dipenuhi rakyat berkredibiliti tinggi.
assalamualaikum..mohon izin kongsikan karangan ini dengan murid - murid ...terima kasih
ReplyDeleteterima kasih ☺️
ReplyDeletePaduuu
ReplyDelete